Menurut Norman, kelemahan tersebut membuatkan atlet negara mudah kalah dan tersungkur apabila berdepan dengan kesukaran ketika sedang berlawan
"Berdasarkan apa yang saya lihat, atlet kita sudah bersedia dari segi kekuatan fizikal.
"Tapi sayangnya, bila dah nak kalah, mereka terus hilang fokus sedangkan ketika itu mereka perlu bangkit dan lawan sehabis mungkin walaupun tinggal beberapa minit lagi untuk tamat sesebuah perlawanan yang disertai," katanya pada Seminar Personaliti Unggul untuk para atlet anjuran Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, Selasa.
Tambah Norman, dia memberikan contoh pasukan bola sepak negara yang kini semakin kuat menentang setiap negara lawan, tetapi terus hilang fokus apabila pihak lawan memberikan jaringan gol.
Para atlet yang hadir ke seminar majlis sukan negara (MSN) |
Pada seminar tersebut, Norman bersama pelakon Rosyam Nor telah memberikan petua kepada atlet-atlet negara untuk menaikkan semangat dan menyuntik pemikiran positif dalam persediaan mengharungi Sukan Sea ke-26 yang akan berlangsung di Jakarta pada November depan.
Tambah Norman, para atlet juga perlu diberikan lebih banyak seminar agar dapat menguatkan mental selain fizikal."Sebenarnya antara atlet sukan dan artis, kerja kami tidak banyak berbeza kerana masing-masing melalui proses tekanan prestasi, harapan yang menggunung daripada rakyat dan persediaan kerja.
"Kerana itu, agak mudah untuk saya dan Rosyam berkongsi pengalaman kami mengenai persediaan dalam melalui setiap jatuh bangun kami sebagai selebriti," katanya.
Sementara itu, kata Rosyam pula, para atlet juga perlu mempunyai pengetahuan am menerusi pembacaan akhbar agar mudah berkomunikasi dengan pihak luar termasuklah media yang menemu bual mereka.
"Saya lihat, atlet di luar negara begitu positif ketika menjawab setiap soalan yang ditanya oleh pihak media manakala atlet kita agak segan dan masih lagi ada perasaan malu ketika bercakap.
"Contohilah Datuk Nicole David, kerana dia bijak bermain dengan kata-kata ketika menjawab soalan. Saya harap, di masa akan datang ini, atlet kita lebih yakin berdepan dengan orang ramai kerana ia juga amat penting ketika melalui perlawanan yang dijalankan masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan