Sabtu, 25 Jun 2011

Rahsia menundukkan EGO lelaki

Contoh kes:
        Aza benar-benar geram dengan sikap suaminya, Mohammad. Berkali-kali dia menasihatkan Mohammad supaya menjaga kesihatan, jaga pemakanan dan selalu bersenam. Tetapi suaminya buat tidak endah dan selalu mendabik dada dengan mengatakan dia tidak pernah jatuh sakit. Datuknya meninggal dunia pada usia melebihi angka 100 tahun. Ayahnya masih sihat walau usia hampir mencecah 90 tahun.
        Semalam Mohammad pengsan ketika hendak mengerjakan solat Maghrib. Dan baru sebentar tadi doktor mengesahkan, dia menghidapi sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan gout. Yang membuatkan Aza geram , setiap kali tetamu datang, Mohammad sibuk memberitahu tentang penyakitnya dan nasihat yang diberikan doktor. Bahkan dia sibuk memberitahu Aza, pantang-larangnya dalam makanan dan sibuk mengajak isterinya pergi membeli pakaian sukan apabila dia keluar wad nanti.
        Dalam hati Aza, alangkah baiknya jika Mohammad mendengar nasihatnya sejak dulu lagi. Mungkin keadaan suaminya tidak seteruk sekarang. Namun apakan daya, Aza hanya mampu melurut dada.

Anda mugkin pernah berhadapan dengan situasi yang dialami Aza yang kadang-kadang membuatkan anda bengang sedikit. Hendak melawan, Nanti tidak cium bau syurga pulak. Tetapi hendak dibiarkan, sakit mata dan sakit hati melihat kelakuan dan sikap suami.
         Lelaki memang terkenal dengam sikap egonya. Untuk menundukkan ego mereka, bukan suatu hal yang mudah. Kebanyakan lelaki menganggap mereka bukan ego tetapi itulah maruah mereka. Dan prinsip lelaki, pantang maruah mereka tercabar!
         Apabila menyebut soal ego, ramai wanita mengeluh. Tidak mampu dan tidak tahandengan sikap ego seorang lelaki yang bergelar suami.
         Namun, kalau hati wanita dikatakan sekeras kerak nasi, demikian juga halnya dengan kaum lelaki. Walaupun tidak sekeras kerak nasi, ia masih tetap boleh dilembutkan. Bagaimana caranya?
         Inilah rahsia yang patut diketahui oleh kaum wanita, khususnya yang bergelar isteri atau bakal isteri. 10 tip ini elok anda ketahui.

1. Tawan hati ibunya
Lelaki yan berpekerti mulia, sangat menghormati ibunya walaupun dia bukan 'anak emak'. Walaupun, kadang-kadang sikap itu tidak ditunjukkan,tetapi dia mudah terpengaruh dengan apa yang dikatakan ibunya. Jadi, apabila anda teah menjadi menantu kesayangan ibunya, sudah pasti kasih sayang dan rasa hormatnya terhadap anda sentiasa mendalam. Dan dalam situasi ini, anda boleh menjadikan mentua sebagai orang tengah jika anda menghadapi masalah dengan suami anda.


2. Itulah lelaki.
Apapun alasan dan apa pun keadaan, antara lelaki dan wanita, tetap berbeza. Baik dari segi percakapan, tindakan, dari segi pemikian, apatah lagi fizikal, semuanya tidak sama. Jadi jangan sesekali anda mempunyai pemikiran atau mengeluh mengatakan; " Mengapa suami saya tidak faham perasaan saya?", "Kenapa lelaki suka buat begitu dan begini?" Bukan lelaki tidak ada perasaan atau tidak sensitif, tetapi perasaan dan sensitiviti mereka tidak sama dengan wanita. Mengapa? Sebab mereka tu kan lelaki.

3. Beri apa yang dia mahu.
Itulah lelaki, dia akan melakukan apa sahaja untuk anda dan memberi apa yang anda mahu. Ada dua perkara besar yang dimahukan kebanyakan lelaki. Kuasa dan seks. Sejarah membuktikan, ramai lelaki hebat yang jatuh tersungkur akibat seorang wanita.

4. Ikat perutnya.
Sebijak dan sehebat mana pun anda, anda mestilah pandai mengikat perut suami. Sediakan sajian mengkut cita rasa suami bukannya anak-anak. Mungkin anda tidak bijak di dapur, tetapi itu bukanlah alasannya. Orang tua-tua selalu berpesan kalau tidak pandai kena belajar. Kalau tidak tahu, kena bertanya. Jadikan ibu mentua sebagai guru. Tidak rugi anda memasak makanan yang digemari suami. Apabila anda mampu mengikat perut suami, Insya-Allah, mana-mana pun dia berada, anda tetap berada di hatinya.

5.. Tidak suka dikritik.
Pantang lelaki dikritik, apa lagi dikritik oleh isteri. Mereka akan merasa maruah mereka jatuh. Dan pantang lelaki ialah sesuatu yang melibatkan maruah. Jadi, anda kena bijak menegur suami. Jaga dari segi tutur kata, nada percakapan, dan suasana. Dan yang penting, jangan ketika dia tegang ataupun di khalayak orang ramai.

6. Jangan suka mengungkit.
Tidak dinafikan, ramai lelaki yang 'naik' atau berjaya kerana dorongan isteri. Mungkin ada suatu ketika, anda merasa suami anda telah lupa dengan apa yang anda telah berikan atau pengorbanan anda terhadapnnya. Dan apabila dia sudah pergi terlalu jauh, anda perlu 'menariknya' kembali ke landasan. Anda boleh ungkit kembali sejarah silam, tetapi hanya sekali dan dalam suasana yang amat tenang,agar dia tidak merasa anda mengungkit

7. Tanggungjawab dan kesannya.
Sebenarnya tanggungjawab isteri terhadap suaminya tidak akan berubah walaupun dunia semakin maju. Begitu juga dengan suami. Selagi anda menjalankan tanggungjawab seperti yang digariskan oleh agama, anda tidak perlu risau sedikit pun. Allah akan menempatkan anda di pihak yang benar. Yang penting keikhlasan dan sentiasa ingatkan Allah.

8. Penampilan menawan.
Mugkin suami tidak pernah berkata apa-apa dan tidak pernah mengambil kisah, tetapi awas, jangan ambil kesempatan atas situasi ini. Sekalipun anda seorang suri rumah, jagalah penampilan diri, terutamanya ketika suami hendak ke tempat kerja. Bayangkan di rumah dia berhadapan dengan isteri yang cuma berbatik sarung, kepala berserkup(hanya memakai anak tudung), bibir pucat, dan badan dengan bermaca-macam bau. Sedangkan diluar, dia berhadapan dengan wanita cantik dan meggoda. Sebaik mana pun suami anda, anda jangan lupa.... dia adalah seorang lelaki!

9. Jadi pendengar setia
Tidak pernah dinafikan, tugas isteri memang tidak ada sudahnya. Apa lagi jika seorang isteri yang berkerjaya. Namun tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Luangkanlah sedikit masa untuk si sia. Sekalipun anda tidak mampu menyelesaikannya, tetapi cukuplah sekadar menjadi seorang pendengar yang setia.

10. Cari kebaikan, bukan kelemahan.
Selalunya kalau senang marah, kesalahan orang itulah yang akan dilihat. Hilang segala kebaikan. Ini adalah satu kesilapan yang besar. Selagi manusia bernama manusia, pasti akan ada kesalahan. Sentiasalah bermuhasbah diri, dan carilah kebaikannya. 

Tiada ulasan: